23 August 2009

Kufur tinggal solat Jumaat tiga kali


SOALAN 1:
Apakah hukum jika tidak pergi tunaikan solat Jumaat dengan sengaja tiga kali berturut-turut.

Jawapan:

Menunaikan solat Jumaat adalah fardu ain bagi setiap lelaki yang mukalaf. Sekiranya tidak menunaikan Solat Jumaat tanpa sebarang alasan adalah berdosa besar.

Jika dia meninggalkannya selama tiga kali berturut-turut dia dikategorikan sebagai seorang yang kufur sebagaimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "Barang siapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali dengan sengaja maka kufurlah ia".

Melalui hadis ini jelaslah kepada kita tentang betapa pentingnya solat Jumaat dan betapa besarnya dosa jika meninggalkannya dengan sengaja.

Soalan 2:

Adakah emas yang dijadikan perhiasan seseorang wanita perlu ditunaikan zakatnya. Kalau perlu berapakah nilai berat emas dan berapakah zakat yang perlu dikeluarkan.

Jawapan:

Barangan kemas (emas dan perak) yang dipakai oleh seseorang wanita tidak dikenakan zakat sekiranya tidak melebihi uruf (kebiasaan setempat) pemakaian barang kemas tersebut bagi seseorang wanita.

Jika melebihi uruf kebiasaan, ia dikenakan zakat. Walaubagaimanapun untuk mengetahui berapakah kiraan zakat yang perlu dikeluarkan dari barang kemas tersebut serta sukatan uruf bagi sesuatu tempat, anda boleh menghubungi kaunter pungutan zakat yang berhampiran dengan tempat anda.

Soalan 3:

Apakah hukum bagi seseorang muslimah sekiranya di luar memakai tudung tapi bila berada di tempat kerja memakai skirt, uniform yang sudah ditetapkan?

Jawapan:

Aurat wanita semasa berada di hadapan lelaki yang bukan mahramnya atau ketika berada di luar ialah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan.

Tidak ada keringanan di dalam persoalan menutup aurat. Para majikan juga hendaklah mempertimbangkan rekaan uniform pekerja yang sesuai bagi memenuhi ciri-ciri menutup aurat bagi pekerja muslimah.

Oleh itu sekiranya majikan tetap tidak membenarkan pakaian menutup aurat dipakai maka wanita muslimah dinasihatkan agar mencari pekerjaan yang sesuai dan memenuhi tuntutan syarak.

Soalan 4:

Bagaimana hendak membezakan air mazi , air mani dan air wadi untuk wanita?

Jawapan:

Air mani ialah cecair yang keluar ketika mencapai kemuncak syahwat ketika berjimak atau bermimpi hingga mengeluarkan mani. Hukum air mani adalah suci.

Walau bagaimanapun apabila keluar air mani, maka seseorang itu wajib mengangkat hadas besar iaitu mandi wajib.

Air mazi ialah air yang keluar ketika ghairah. Jika diyakini air yang keluar itu adalah air mazi, maka seseorang itu tidak wajib mandi hadas, memadai dia membasuh sahaja kemaluannya dan tempat yang terkena air mazi tersebut. Ini kerana air mazi adalah najis mutawassitah (pertengahan) .

Air wadi pula ialah air putih pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita selepas membuang air kecil, atau mengangkat sesuatu barang yang berat atau kepenatan. Hukumnya adalah najis mutawassitah iaitu sama dengan air mazi dan tidak perlu mandi wajib memadai dengan membasuhnya sahaja.

Sekiranya air mazi dan wadi terkena pada pakaian ketika solat, solat tidak sah kerana kedua-duanya adalah najis mutawassitah.

Air mani tidak najis, jika terkena pakaian ketika solat, solat tidak batal.

No comments:

Post a Comment

Macam-macam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...