23 August 2009

Kisah-kisah rumah tangga

USIA perkahwinan saya sudah dua tahun dan ada seorang cahaya mata. Sejak berkahwin hingga kini rumah tangga kami sering berkocak kerana sikap isteri saya yang terlalu panas baran dan ganas.

Dia terlalu emosional, pentingkan diri dan sering api-apikan perkara remeh sehingga berlaku perbalahan antara kami. Kadangkala saya dapat andaikan dia memang suka mencari pasal dan suka bergaduh.



Tabiat buruknya ketika bergaduh ialah akan maki hamun, menghina, mengungkit-ungkit dan mereka cipta andaian yang bukan-bukan. Kemudian dia akan maki dan hamun ibu saya dan keluarga saya.

Sikapnya itu seolah-olah sudah menjadi darah dagingnya ketika bergaduh. Saya pernah menasihati dengan cara baik tapi kesannya lebih dahsyat. Selagi dia tidak maki hamun dan hina saya, selagi itulah jiwanya memberontak dan menjadi gila-gila.

Sikap rakusnya kadangkala menakutkan saya kerana dia sering mengugut perkara bukan-bukan. Tidak cukup dengan maki hamun, apabila bergaduh dia akan meminta cerai.

Sebarang nasihat dia tidak dengar dan jawapan yang selalu diberikan ialah: “Kalau tak suka aku, tinggalkanlah aku.”

Saya sentiasa bersabar dengan sikapnya namun saya takut suatu masa nanti saya akan hilang pertimbangan. Sebenarnya saya masih sayangkan rumah tangga dan paling saya tidak sanggup ialah berpisah dengan anak saya.

Sebenarnya, apabila kami berbaik semula hubungan kami seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku namun hati saya begitu terguris dengan kata-katanya dan amat berdendam dengan sikapnya yang melampau semasa bergaduh itu.

Saya juga manusia biasa yang juga mempunyai hati, perasaan dan maruah. Saya dilahirkan bukan untuk dimaki dan dihina. Semoga Dang Setia dapat memberi jalan untuk menyelamatkan rumah tangga kami.

KALAM,

Kota Bharu, Kelantan

Cukup jelas dan nyata masalah saudara hanya boleh diatasi sekiranya isteri saudara berubah sikap. Justeru, Dang Setia ingin bertanya adakah itu boleh menjadi kenyataan?

Dang Setia bertanya soalan ini kerana mahu saudara berfikir serta bertindak secara rasional mengikut fakta dan bukannya sekadar berandaian atau mengharap sesuatu yang amat sukar untuk menjadi kenyataan.

Oleh itu, jika dalam kedudukan saudara, Dang Setia berpendapat pendekatan terbaik yang boleh dilakukan ialah berusaha sehabis daya untuk mengubah sikap isteri. Untuk tujuan itu, pelbagai usaha boleh dilakukan.

Mengikut kaedah disarankan Islam, ada tiga peringkat yang perlu dilakukan. Pertama, menasihatinya secara baik. Jika dia ingkar, lakukan peringkat kedua iaitu berpisah tempat tidur dengannya sebagai pengajaran.

Jika dia masih ingkar juga, saudara boleh memukul isteri tapi bukan sampai mencedera atau memudaratkan, cukup sekadar peringatan dan lambang ketegasan. Namun, jika selepas itu isteri masih ingkar, harus atau tidak salah untuk puan menceraikannya.

Pada masa yang sama, saudara juga boleh mengajak isteri berjumpa pakar kaunseling untuk mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan atau meminta bantuan pihak ketiga iaitu seseorang yang dihormati isteri saudara untuk memberi nasihat kepadanya.

Selain itu, perlu juga saudara melihat ke dalam diri saudara sendiri kerana ada kemungkinan sikap buruk isteri itu berpunca daripada kelemahan saudara. Bukan ingin menyalahkan saudara, tapi perlu difahami, lazimnya isteri tidak menghormati suami disebabkan suami itu sendiri yang tidak memiliki ciri-ciri layak dihormati.

Seorang suami harus faham, seorang isteri mahukan suami yang mampu menjadi pelindung, pendidik, penghibur, tempat bermanja, pembuat keputusan betul, selain berkeupayaan memenuhi kepuasan rohani

serta material.

Apabila suami gagal memenuhi perkara di atas atau satu daripadanya, isteri mudah hilang hormat, suka memberontak, malah ada yang terlajak lebih jauh iaitu menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Akhir sekali, dalam melakukan semua usaha yang Dang Setia cadangkan di atas, sebaik-baiknya tetapkan satu tempoh atau tarikh akhir untuk melihat perubahan sikap isteri saudara.

Jika selepas segala usaha sudah saudara lakukan dan tempoh ditetapkan sampai penamatnya namun sikap isteri saudara masih di takuk lama, bagi Dang Setia jalan penyelesaian yang terbaik ialah melepaskannya. Lagipun, itu yang dia mahu.

Memang sakit apabila perkahwinan terpaksa dikuburkan dengan perceraian tapi jangan lupa qada’ dan qadar Allah. Malah, Dia juga menjanjikan pasti ada hikmah atau kebaikan di sebalik segala keburukan yang menimpa kita.

Dalam erti kata lebih mudah, kini rumah tangga saudara tidak bahagia, jadi ada kemungkinan Allah membalas penderitaan dan kesabaran saudara dengan mengurniakan seorang isteri solehah yang mampu mewujudkan situasi rumah tangga lebih bahagia?

Bagi Dang Setia, dalam mencongak apa keputusan yang terbaik, perkara penting yang wajib difikirkan ialah matlamat perkahwinan iaitu kebahagiaan hidup berumah tangga. Apa gunanya perkahwinan jika suami isteri sebenarnya hanya bergelumang dosa berikutan masing-masing tidak melakukan amanah Allah.

No comments:

Post a Comment

Macam-macam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...